Cabaran dan Harapan: Ke Arah Sistem Persaraan yang Lebih Inklusif di Malaysia
- Muhammad Fadhil
- Jul 25
- 10 min read
Disediakan Oleh Muhammad Fadhil
25th July 2025

Aminah seorang pesara duduk di beranda rumahnya, menikmati petang yang tenang tanpa risau tentang bil yang perlu dibayar. Hasil usahanya ketika muda membolehkan beliau menikmati usia senjanya dengan tenang.Hal ini disebabkan Aminah yang mencarum sebahagian wangnya untuk persaraan ketika muda.
Apakah itu pencen? Sistem pencen merupakan elemen penting dalam program sokongan sosial kerana ia menyediakan bantuan kewangan kepada individu selepas bersara, sekali gus membantu mereka memenuhi keperluan asas dan mengelakkan kemiskinan dalam kalangan warga emas. Di Malaysia, sistem pencen terbahagi kepada beberapa skim utama yang disesuaikan mengikut sektor pekerjaan.
Bagi penjawat awam, terdapat skim pencen khas yang memberikan bayaran bulanan seumur hidup selepas bersara, dengan syarat telah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun. Skim ini turut merangkumi faedah tambahan seperti ganjaran perkhidmatan, pencen terbitan kepada waris, serta kemudahan rawatan di hospital kerajaan. Sementara itu, bagi sektor swasta, sistem pencen dikendalikan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu skim simpanan wajib yang melibatkan caruman bulanan oleh majikan dan pekerja. Untuk melengkapi KWSP, Skim Persaraan Swasta (PRS) diperkenalkan pada tahun 2012 sebagai pilihan sukarela. Menurut Chan (2019), PRS memberi peluang kepada individu untuk menambah simpanan persaraan melalui pelaburan tanpa perlu mempunyai kepakaran kewangan.
Walaupun ada beberapa sistem pencen yang ditawarkan,Malaysia berdepan dengan beberapa cabaran utama seperti tahap pendapatan yang rendah (BNM, 2018), kadar hutang isi rumah yang tinggi, serta saiz sektor informal yang besar secara langsung mengurangkan keupayaan rakyat untuk menyimpan. Keadaan ini semakin membimbangkan apabila ramai individu membuat pengeluaran awal daripada simpanan persaraan mereka semasa pandemik COVID 19. Golongan paling terkesan adalah mereka yang berumur antara 26 hingga 40 tahun, yang mencatatkan penurunan paling ketara dalam memenuhi syarat Simpanan Asas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Data menunjukkan bahawa nilai pengeluaran median bagi kumpulan ini ialah sebanyak RM16,400, yang menyebabkan kerugian potensi simpanan persaraan antara RM24,000 hingga RM94,000 bersamaan dengan 10% hingga 39% daripada jumlah simpanan masa depan mereka (DOSM,2020).
Selain itu, Kerajaan Malaysia juga telah memutuskan bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi akan menerima pencen, sebaliknya perlu mencarum ke dalam KWSP seperti pekerja sektor swasta. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah ini diambil bagi mengelakkan beban fiskal yang dijangka mencecah RM120 bilion setahun menjelang 2040 sekiranya sistem pencen dikekalkan (Berita Harian, Jan 2024).
Walaupun penjawat awam sedia ada tidak terjejas, dasar ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesejahteraan persaraan generasi akan datang, khususnya dari segi jaminan kewangan dan daya tarikan perkhidmatan awam sebagai kerjaya jangka panjang.
Oleh itu, penting untuk kita meneliti bagaimana Malaysia boleh menyokong golongan pesara dengan lebih berkesan, sama ada melalui pengukuhan sistem sedia ada atau pelaksanaan pendekatan baharu seperti pencen universal.
Kerangka Lima Teras Utama Bank Dunia
Terdapat 5 teras pencen yang digariskan oleh World Bank. (Holzmann et al., 2008). Kerangka Lima Teras Bank Dunia penting untuk memahami pencen kerana ia menyediakan pendekatan menyeluruh dalam menilai dan membangunkan sistem perlindungan usia tua. Ia memastikan tiada golongan yang tercicir dengan mengambil kira pelbagai bentuk sokongan, termasuk sektor formal dan tidak formal.

Gambar Rajah 1: Sistem Pencen Pelbagai Teras
Ciri- ciri khas untuk setiap teras sistem pencen adalah seperti berikut:
Teras | Ciri-ciri Utama | Contoh Skim di Malaysia | Penjelasan Ringkas Skim |
Teras 0 Bantuan Sosial | - Disediakan oleh kerajaan - Dibiayai melalui cukai awam -Tidak perlu caruman - Pendapatan bantuan asas dan minimum | - Bantuan JKM - eKasih | - Bantuan JKM: Bantuan tunai untuk warga emas miskin dan tidak berdaya. - eKasih: Pangkalan data keluarga miskin yang layak menerima bantuan kerajaan. |
Teras 1 Insurance Sosial | - Disediakan oleh kerajaan - Dibiayai melalui cukai sosial Ciri- ciri khas untuk setiap teras sistem pencen adalah seperti berikut: | -Belum ditawarkan di Malaysia | - Sistem pencen universal seperti di negara Nordik. - Dibincang sebagai cadangan dasar masa depan. |
Teras 2 Skim Wajib | -Diwajibkan kerajaan -Caruman tetap - Wajib untuk sektor formal - Pilihan bagi bekerja sendiri | -KWSP -PEKRSO -LTAT | - KWSP: Tabung simpanan wajib bagi pekerja sektor swasta untuk persaraan. - PERKESO: Perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja jika berlaku kemalangan, hilang upaya, atau kematian. - LTAT: Lembaga Tabung Angkatan Tentera – skim simpanan wajib untuk anggota tentera tetap. |
Teras 3 Skim Sukarela | -Disediakan oleh sektor swasta - Dibiayai atau dilindungi insurans -Galakan cukai disediakan -Caruman tetap / pencen tetap -Melibatkan majikan atau individu | -Skim Persaraan Swasta ( PRS) | - PRS: Pelaburan sukarela tambahan untuk individu yang ingin pencen tambahan selain KWSP. - Sesuai untuk pekerja sendiri dan profesional bebas. |
Teras 4 Sokongan Lanjutan (Bukan Kewangan) | -Bukan kewangan - Sokongan keluarga atau komuniti - Program sosial rasmi (kesihatan, perumahan) - Aset individu seperti rumah sendiri | - MySalam - Perumahan Rakyat | - MySalam: Perlindungan kesihatan percuma untuk B40. - Perumahan Rakyat: Program perumahan untuk golongan berpendapatan rendah. |
Gambar Rajah 2: Ciri-Ciri Khas Pencen Berdasarkan Teras Serta Contoh Skim yang ditawarkan di Malaysia
Setakat ini,Malaysia masih belum menawarkan skim Teras 1 kepada orang awam. Sistem ini juga dikenali sebagai sistem pencen universal.Sistem pencen ini akan dibahas dengan lebih lanjut lagi pada bahagian seterusnya.
Kelebihan Pencen Universal
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia tidak mempunyai skim pencen berasaskan Teras 1. Teras 1 ini juga dikenali sebagai Pencen Universal.Pencen Universal boleh dikatakan sebagai skim yang menyediakan perlindungan asas selepas bersara dan membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan warga emas. Dibiayai melalui hasil cukai umum, pencen universal lazimnya bersifat bukan caruman (non-contributory) dan bersandar kepada umur sebagai syarat kelayakan utama. Sebagai contoh, negara seperti New Zealand telah mengamalkan skim pencen universal untuk semua rakyat berumur 65 tahun ke atas (OECD,2019).
3
Antara kelebihan pencen universal adalah pencen universal mengiktiraf pencen sebagai hak asas yang perlu diberikan kepada semua warga emas, bukan semata-mata ganjaran atas pekerjaan atau caruman. Ia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan hak perlindungan sosial untuk semua, termasuk mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal dan tidak mempunyai simpanan persaraan. Pendekatan ini memastikan tiada golongan warga tua tercicir daripada sokongan negara pada usia lanjut (ILO,2010).
Selain berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial, pencen universal turut memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan. Warga emas yang menerima bantuan kewangan tetap cenderung membelanjakannya untuk keperluan harian seperti makanan, ubat-ubatan, dan perkhidmatan asas, kebanyakannya diperoleh dari peniaga dan penyedia perkhidmatan setempat. Hal ini merangsang aktiviti ekonomi mikro, terutamanya di kawasan luar bandar dan komuniti berpendapatan rendah. Kajian juga menunjukkan bahawa aliran kewangan dari pencen kepada isi rumah berpendapatan rendah dapat meningkatkan permintaan dan kestabilan ekonomi tempatan secara berterusan (HelpAge International, 2013).
Terdapat beberapa seruan dari pelbagai pihak agar Malaysia menaawarakan skim ini. Antaranya ialah Rakan Pengurus Kumpulan UHY Malaysia, Datuk Alvin Tee Guan Pian. (Berita Harian, 2021) Beliau menjelaskan bahawa skim pencen universal ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pesara, malah turut membantu kanak-kanak di bawah penjagaan mereka, termasuk anak yatim. Tambahnya, pencen sosial diiktiraf sebagai sebahagian daripada Siling Perlindungan Sosial oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan kegagalan untuk melaksanakannya boleh menjejaskan sistem penjagaan kesihatan serta meningkatkan risiko kemiskinan dalam kalangan warga emas.
Selain itu Dr Stephen Kidd, Pakar Kanan Dasar Sosial di Development Pathways Ltd, (Berita Harian, 2023) menekankan bahawa keberkesanan dasar pencen universal ini bergantung kepada kesediaan rakyat untuk membayar cukai pada kadar yang sesuai, dan ia juga dilihat sebagai satu peluang kepada ahli politik progresif untuk memperkenalkan dasar sosial yang inklusif dan popular demi manfaat rakyat secara menyeluruh.
Cabaran Melaksanakan Pencen Universal
Walaupun pencen universal mempunyai banyak faedah kepada rakyat dan juga negara namun Malaysia masih belum menawarkan skim ini.Banyak cabaran yang perlu diambil kira sebelum Malaysia boleh melaksanakan skim pencen universal ini. Antaranya adalah kadar kesuburan rendah, dan kos yang tinggi.
Kadar kesuburan ialah purata bilangan anak yang dilahirkan oleh setiap wanita dalam usia subur (biasanya antara 15 hingga 49 tahun) sepanjang hayatnya. Ia digunakan sebagai ukuran utama untuk menilai tahap pertumbuhan dan penggantian penduduk dalam sesebuah negara atau kawasan (United Nations,2023).

Graf Kadar Kesuburan di Malaysia daripada 2001-2023,data diambil daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Kadar kesuburan yang semakin menurun memberi kesan langsung terhadap kestabilan sistem pencen, terutamanya dalam model yang bergantung kepada sumbangan generasi bekerja untuk membiayai pesara. Dr Wan Hilya Munira Mustapha, Ketua Unit Kesihatan Reproduktif di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), berpandangan bahawa antara pendorong utama kepada perubahan demografi ini ialah peningkatan kos sara hidup, khususnya di kawasan bandar, yang memberikan tekanan kewangan besar kepada pasangan dalam membesarkan anak (Bernama,2025).
Apabila kadar kelahiran menurun, jumlah individu muda yang memasuki pasaran kerja turut berkurang, sekali gus mengecilkan nisbah sokongan antara golongan bekerja dan warga emas. Keadaan ini mewujudkan ketidakseimbangan dalam sistem pencen kerana semakin ramai pesara perlu ditampung oleh bilangan pekerja yang semakin kecil (Lee & Mason,2014).Oleh itu, hal ini menjadi salah satu cabaran terbesar untuk melaksanakan pencen universal yang mana ianya dibiayai oleh cukai.
Selain itu,perlaksanaan pencen universal di negara membangun seperti Malaysia berdepan cabaran besar dari segi kos yang tinggi. Skim ini memerlukan kerajaan membayar pencen tetap kepada semua warga emas tanpa mengira latar belakang pekerjaan, sekali gus meningkatkan beban kewangan negara. Situasi fiskal yang terhad dan keperluan lain seperti pendidikan dan kesihatan menyukarkan pembiayaan pencen universal melalui cukai. Kadar kesuburan menurun dan jumlah pembayar cukai berkurang menyukarkan lagi keadaan. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, meskipun pencen universal berpotensi mengurangkan kemiskinan, ia menuntut perancangan rapi agar tidak menjejaskan kestabilan ekonomi negara (ILO, 2018).
Cadangan Penambahbaikan Sistem Pencen
Terdapat beberapa cadangan penambahbaikan sistem pencen yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.
1. Pelaksanaan Skim Pencen Sumbangan Berasaskan Penggunaan
Salah satu cadangan penting untuk memperkukuh sistem pencen negara ialah pelaksanaan Skim Pencen Sumbangan Berasaskan Penggunaan (CBCP). Rabi dan Mansor (2024) dalam artikel “The sandwich generation: The case for a consumption-based contributory pension”mencadangkan sumbangan sebanyak 2% ke atas perbelanjaan pengguna sebagai cara untuk membolehkan semua individu, tanpa mengira status pekerjaan, menyumbang secara automatik kepada dana pencen mereka. Pendekatan ini melengkapkan sistem sedia ada seperti KWSP dan mampu memperluas perlindungan kepada golongan yang kurang dilindungi seperti pekerja informal dan suri rumah.
Antara negara yang menggunakan sistem ini ialah Perancis. Sejak 1991, Perancis telah memperkenalkan Contribution Sociale Généralisée (CSG) sebagai suatu bentuk cukai untuk membantu membiayai sistem perlindungan sosial, termasuk pencen. Keistimewaan CSG adalah ianya dikenakan ke atas pelbagai jenis pendapatan, termasuk gaji, faedah pelaburan, pencen, dan juga perbelanjaan (French Social Security System,2024). Ianya menjadikan pembiayaan sosial lebih stabil dan inklusif. Ianya amat berbeza daripada sistem pencen tradisional yang berfokuskan kepada gaji semata-mata.
Oleh itu dapat kita lihat jika skim (CBCP) ini dilaksanakan, ianya berpotensi untuk memperluas liputan kepada kumpulan yang sebelum ini tidak dilindungi secara mencukupi. Selain itu, pendekatan ini dapat mengurangkan ketidaksaksamaan sosial dan memastikan semua warga emas memiliki tahap perlindungan kewangan yang lebih stabil dan menyeluruh (Rabi & Mansor, 2024).
2. Pelaksanaan Berperingkat Pencen Universal
Selain itu, pencen universal boleh dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah permulaan. Langkah pertama boleh dimulakan dengan memberikan bantuan pencen kepada kumpulan tertentu, seperti warga emas yang tidak mempunyai simpanan persaraan atau yang bekerja dalam sektor tidak formal. Pendekatan ini membolehkan kerajaan menilai kesan sebenar terhadap kewangan negara dan keberkesanan dasar sebelum ia diperluaskan kepada seluruh rakyat. Selain itu, pendekatan berperingkat ini memberi peluang kepada kerajaan untuk menyesuaikan dasar berdasarkan kemampuan fiskal dan keperluan semasa.
Walaupun pencen ini diperkenalkan secara “universal” untuk semua warga emas, kerajaan masih boleh menggunakan kaedah tertentu untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Sebagai contoh, jika pencen ini dianggap sebagai pendapatan yang perlu diisytiharkan dalam cukai, individu yang berpendapatan tinggi akan 'memulangkan' sebahagian daripada bantuan tersebut melalui sistem percukaian. Sebaliknya, golongan yang tidak dikenakan cukai pendapatan akan menerima manfaat sepenuhnya. Pendekatan ini bukan sahaja membantu kerajaan menjimatkan kos, tetapi juga memastikan sistem pencen yang lebih adil dan saksama (Handayani & Babajanian, 2012).
3. Perkukuh Sistem Sedia Ada Seperti KWSP
Selain melaksanakan pencen sosial dan pencen universal, kerajaan juga boleh memperkukuh sistem pencen yang sedia ada, seperti KWSP. World Economic Forum (WEF) mencadangkan agar sistem persaraan diperkukuh melalui pembiayaan yang mampan seperti pelarasan kadar caruman, penyelarasan umur persaraan dengan jangka hayat, serta strategi pelaburan yang lebih pelbagai. Langkah-langkah ini penting untuk memastikan sistem kekal stabil dan mampu bertahan dalam jangka panjang tanpa membebankan generasi muda.
WEF turut menekankan kepentingan memperluas perlindungan kepada pekerja gig dan sektor tidak formal melalui skim pencen mikro dan faedah persaraan yang lebih mudah diakses. Pendaftaran automatik dalam simpanan persaraan juga digalakkan kerana terbukti meningkatkan penyertaan, terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.(WEF,2025)
Kesimpulan
Secara keseluruhan, pelaksanaan pencen universal di Malaysia merupakan satu langkah jangka panjang yang berpotensi meningkatkan kesejahteraan warga emas, khususnya mereka yang tiada perlindungan persaraan. Namun, pelaksanaannya memerlukan penelitian mendalam terhadap kapasiti fiskal negara dan keupayaan sistem sedia ada. Beban kewangan yang tinggi serta keperluan pembiayaan berterusan menjadikan pendekatan ini mencabar, terutamanya dalam konteks negara membangun seperti Malaysia yang masih berdepan dengan keutamaan lain dalam pembangunan sosioekonomi.
Selain itu, isu demografi seperti kadar kesuburan yang rendah dan penuaan penduduk menambah tekanan kepada struktur pencen negara. Jumlah penduduk dalam usia bekerja semakin berkurang, manakala bilangan warga emas terus meningkat. Seperti yang dinyatakan oleh pakar LPPKN, kos sara hidup yang tinggi, terutamanya di kawasan bandar, turut menjadi penghalang utama kepada pertambahan bilangan anak dalam sesebuah keluarga. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan jangka panjang sistem pencen, tetapi juga membimbangkan dari segi kelestarian tenaga kerja negara.
Justeru, reformasi sistem pencen perlu digerakkan secara menyeluruh dan berperingkat, dengan mengambil kira aspek kewangan, demografi serta keperluan sosial semasa. Cadangan seperti memperkukuh sistem KWSP, melaksnakan pencen universal secara berperingkat, dan memperkenalkan skim pencen berasaskan penguunan (CBCP) adalah antara langkah penting yang boleh dipertimbangkan. Pendekatan yang inklusif dan mampan akan memastikan rakyat Malaysia dapat meniti hari tua dengan lebih selesa, bermaruah, dan terjamin.
References :
[1] Bank Negara Malaysia. (2018). Are Malaysian workers paid fairly? An assessment of productivity and equity. Retrieved from the 2018 Annual Report
[2] Berita Harian (2021, January 14). Kerajaan wajar pertimbang skim pencen sosial. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/01/776138/kerajaan wajar-pertimbang-skim-pencen-sosial/
[3] Berita Harian (2023, September 14). Malaysia boleh laksana skim pencen universal guna hasil cukai. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/bisnes/lainlain/2023/09/1152787/malaysia-boleh-laksana-skim-pencen-universal-guna-hasil cukai
[4] Berita Harian(2024, January 25). Tiada lagi sistem pencen bagi penjawat awam baru M’sia, Berita - BeritaHarian.sg. Www.beritaharian.sg. https://www.beritaharian.sg/malaysia/tiada-lagi-sistem-pencen-bagi-penjawat-awam baru-msia
[5] BERNAMA. (2025, July ). Factors Driving Decline In Live Births In Malaysia. BERNAMA. https://www.bernama.com/en/news.php?id=2379875
[6] Chan, D. (2019, December 17). A guide to the Private Retirement Scheme (PRS). RinggitPlus. https://ringgitplus.com/en/blog/budgeting-saving/a-guide-to-the-private-retirement
[7] Department of Statistics Malaysia. (2023). TFR dan ASFR | OpenDOSM. Dosm.gov.my; OpenDOSM. https://open.dosm.gov.my/ms-MY/data-catalogue/fertility
[8] Handayani, S. W., & Babajanian, B. (2012). Social Protection for Older Persons Social Pensions in Asia. Asian Development Bank.
[9] HelpAge International. (2013). Why social pensions are needed now. London.
[10] ILO. (2010). World Social Security Report 2010/11: Providing coverage in times of crisis and beyond. Geneva: International Labour Office.
[11] KWSP model untuk reformasi persaraan mampan - Forum Ekonomi Dunia. (2025). Astroawani.com. https://www.astroawani.com/berita-bisnes/kwsp-model-untuk reformasi-persaraan-mampan-forum-ekonomi-dunia
[12] Lee, R., & Mason, A. (2014). Is low fertility really a problem? Population aging, dependency, and consumption. Science, 346(6206), 229–234. https://doi.org/10.1126/science.1250542
[13] OECD. (2019). Pensions at a Glance 2019: OECD and G20 Indicators. OECD Publishing. https://doi.org/10.1787/b6d3dcfc-en
[14] Rabi, A., & Mansor, N. (2024, September 10). My Say: The sandwich generation: The case for a consumption-based contributory pension. The Edge Malaysia. https://theedgemalaysia.com/node/726003?
[15] The French social security system : organisational structure, financing, scope and coverage. (2024). Www.cleiss.fr. https://www.cleiss.fr/docs/regimes/regime_france/an_0.html
[16] United Nations, Department of Economic and Social Affairs, Population Division. (2023)World Population Prospects 2022: Summary of Results.
https://population.un.org/wpp/
Comments