top of page

Evolusi Demokrasi di Malaysia - Relevansi dan Keabsahan Proses Pilihanraya

Updated: Nov 27, 2023

Ahmad Arif Astaman


Ogos 2020, berakhir tempoh dua tahun Jawatankuasa Reformasi Pilihanraya (Electoral Reform Committee, ERC) bagi mengemukakan saranan kepada kerajaan dan hampir 50 saranan telah diserahkan khusus bagi penambahbaikan sistem pilihanraya Malaysia. Kandungannya masih belum diumumkan, namun kita wajar mengambil berat tentang perkembangan sistem ini memandangkan ia merupakan tonggak utama dalam keabsahan demokrasi Malaysia.

Apapun tanggapan terhadap kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang lalu, keputusan beliau bagi mewujudkan ERC untuk mengenalpasti kelompongan sistem pilihanraya merupakan langkah yang amat diperlukan. Seiring dengan perubahan zaman, begitu juga dengan sistem perundangan yang telah menjadi cerminan situasi negara sejak 1950an dan 1960an, ianya perlu diulas dan disemak semula secara konsisten agar kekal relevan dan mampu memenuhi aspirasi rakyat tatkala melangkah ke abad ke-21 ini.


Kita dapat lihat susulan positif apabila had kelayakan mengundi diturunkan ke 18 tahun, ini merupakan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang pertama sejak tahun 2007 dan telah mendapat sokongan sepenuh merentas parti sewaktu di bentangkan di persidangan parlimen. Ini membutikan bahawa sistem pilihanraya itu mampu berevolusi dan boleh diubah ke arah yang dipersetujui semua pihak. Namun, meluaskan kelompok pengundi semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah pokok yang mempengaruhi kematangan politik sekiranya ia tidak ditangani secara serentak.


Pengundi Bermaklumat Asas Demokrasi Sihat


Realitinya kadar kematangan politik di kalangan rakyat secara keseluruhannya masih lebih cenderung kepada demografi dan geografi setempat. Suka ataupun tidak, kematangan politik tidak boleh dipisahkan dengan faktor jurang dari segi pendidikan, pengalaman dan pendapatan rakyat. Hak untuk memilih itu akan hanya mempunyai bermakna sekiranya digunakan oleh individu yang memahami pilihan yang ada dari segi calon dan parti politik. Justeru, memupuk kapasiti untuk berfikiran secara kritis, mengajukan soalan yang tepat, memahami jawapan yang diberikan oleh politikus dan berkeyakinan untuk memperjuangkan hak sendiri.

Hak memilih akan terus didominasi oleh yang golongan berkepentingan demi mengekalkan ‘status quo’ yang sentiasa memihak kepada mereka sekiranya hal ini tidak dihiraukan. Demokrasi yang tidak membawa perubahan ini lama-kelamaan akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem tersebut, dan ini dimanifestasikan dengan defisit kepercayaan (‘trust deficit’) yang semakin melebar di antara rakyat dan pemerintah. Akhirnya, mereka akan lebih cenderung terhadap ideologi ekstrim yang hanya akan menempah kancah krisis sekiranya tiada intervensi serius untuk meningkatkan tahap pendidikan dan kepekaan sivik pengundi, khususnya di kalangan pengundi muda.

Pendidikan politik harus diketengahkan di peringkat awal agar asas sistem politik dan dan demokrasi mampu dimaknai di setiap lapisan. Kita harus lahirkan generasi yang fokus pada isu sebenar dan manfaat yang lebih besar buat masyarakat dan bukan sekadar perbincangan retorik dan anjakan ‘tiang gol’ yang kini semakin berleluasa. Setidaknya pengundi muda akan lebih cakna dengan janji dan bersifat lebih relevan.


Sistem Westminster Bukan Kitab Suci


Kepekaan seseorang pengundi itu kepada sejarah sistem pilihanraya juga adalah satu aspek penting. Sistem pemerintahan Negeri-negeri Tanah Melayu (samada Bersekutu mahupun Tidak Bersekutu) sebelum kesatuan politik secara ‘terpaksa’ pada tahun 1946 merupakan sistem majlis negeri yang dipengerusikan oleh setiap Raja Melayu, yang diselingi ‘nasihat’ pegawai British. Hanya pada tahun 1955, iaitu 65 tahun yang lepas, rakyat Malaya (ketika itu) diberikan pengalaman pertama untuk memilih pemimpin mereka di dalam sebuah pilihanraya umum, mengikut acuan sistem Westminster yang diperkenalkan oleh pentadbir British.


Peralihan tersebut merupakan suatu perkembangan penting di dalam penentuan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, dan telah kita gunakan sehingga kini. Namun, Britain sendiri, dan banyak lagi negara-negara Komanwel lain seperti Singapura, Australia, New Zealand dan India yang juga menggunakan sistem ini sebagai asas politik mereka sudahpun melalui proses evolusi bagi mencerminkan kesaksamaan yang semakin dituntut oleh rakyat negara masing-masing. Aspek seperti pengunaan sistem penjumlahan undi secara perwakilan berkadar (‘proportional representation’), penetapan tempoh penggal Parlimen, meletakkan kuasa persempadanan semula kawasan pengundian kepada agensi bebas dan mewajibkan pengundian untuk wakil ke kedua-dua Dewan Parlimen merupakan contoh pembaharuan yang telahpun dijalankan oleh sesetengah negara. Ini bukan sahaja akan meningkatkan kesaksamaan keputusan pilihanraya, tetapi sekaligus memperbaharui keyakinan rakyat terhadap konsep demokrasi berparlimen itu sendiri sebagai satu perkara yang dinamik, dan bukan statik.


Sebagai permulaan contohnya, pelarasan semula saiz kawasan Parlimen perlu dibuat engikut satu piawai yang tidak mewujudkan jurang bilangan pengundi yang terlalu ketara. Nilailah sendiri keadilannya apabila Ahli Dewan Rakyat untuk kawasan Parlimen terbesar mengikut jumlah pemilih mewakili seramai lebih 177 ribu orang pengundi, manakala Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan terkecil pula hanya mewakili kurang 20 ribu orang pengundi. Walaupun kesaksamaan mutlak itu adalah mustahil untuk dicapai, memperkenalkan semula julat nisbah yang munasabah adalah perlu untuk berlaku adil kepada rakyat. Ini dijadikan lebih buruk dengan ketiadaan parti politik yang mempunyai majoriti 2/3 di dalam Dewan Rakyat, sekaligus menghalang apa-apa pertambahan kerusi sekiranya tidak boleh dipersetujui oleh pihak kerajaan dan pembangkang, walaupun bilangan pengundi dijangka meningkat dengan mendadak menjelang piliharaya umum yang akan datang.


Teknologi Sebagai Asas Ketahanan Menghadapi Masa Hadapan


Aspek terakhir yang patut diperhatikan ialah penggunaan teknologi bagi memudahcara proses berkaitan pilihanraya, seperti perubahan alamat di dalam daftar pengundi, pengesahan identiti pengundi dan aktiviti mengundi itu sendiri. Bagi kebanyakan negara, khususnya di negara Barat, batu penghalang utama kepada menggunakan sistem pengundian elektronik sepenuhnya ialah ketiadaan skim identiti kebangsaan yang mandatori, seperti yang dilaksanakan di Malaysia. Tanpa dokumen identiti yang diwajibkan kepada semua rakyat, penggunaan sistem pengundian elektronik merupakan satu risiko besar dan amat menyulitkan.


Namun, bagi negara yang sedia ada dengan skim pengenalan warganegara serta kadar akses internet yang tinggi seperti Estonia, penggunaan konsep ‘i-undi’ ini telah dimulakan semenjak tahun 2005 lagi, dan semasa pilihanraya mereka pada tahun 2019, hampir 50% undi telah dibuat secara atas talian. Walaupun ia tetap mempunyai kritikan tentang keselamatan sistem tersebut, contoh ini menunjukkan bahawa teknologi sedia ada sudah boleh dikaji sebagai asas kepada cara pengundian masa hadapan, dan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan perubahan seharusnya mengambilkira teknologi selaku memudahcara, lebih-lebih lagi di dalam keadaan pandemik seperti yang kini masih lagi melanda dunia.


Di samping itu, penggunaan kemajuan seperti jaringan ‘blockchain’ di dalam rekabentuk cara mengundi juga akan membolehkan isu verifikasi pengundi diselesaikan tanpa membolehkan pengundi itu dikenalpasti. Di Australia, cadangan untuk pilihanraya peringkat tempatan menggunakan teknologi jaringan ‘blockchain’ telahpun dibentangkan untuk pertimbangan dewan undangan di beberapa negeri, dan berasaskan kepada kepercayaan mereka terhadap keselamatan sistem tersebut di dalam merekod dan meluluskan transaksi kewangan. Usaha ke arah ini sewajarnya mula digerakkan dari sekarang bagi memastikan yang bilangan pengundi yang mengambil bahagian di dalam semua pilihanraya umum atau kecil di Malaysia kekal stabil pada satu tahap yang tinggi.


Kesimpulan


Adalah menjadi harapan kita semua, bahawa 49 saranan yang telah dibuat akan dibincangkan oleh Jemaah Menteri dengan teliti dan menyeluruh, dan kemudiannya dibentangkan di Parlimen supaya wakil-wakil pilihan rakyat juga akan dapat memberikan

maklumbalas serta pendapat masing-masing. Sebagai warganegara dan pengundi, peranan kita tidak sepatutnya terhad hanya kepada proses pengundian pada hari pemilihan, tetapi sebagai penyumbang terus kepada perincian keseluruhan sistem pilihanraya di Malaysia. Perkongsian hasil kajian ERC ini perlu dibuat secepat mungkin dan dihadam oleh segenap lapisan rakyat supaya amalan demokrasi ini dapat diperbaik sebelum kita mengharungi persiapan bagi pilihanraya yang akan datang.



bottom of page