top of page

Kerajaan Tanpa Pembangkang

Updated: Nov 27, 2023

Disediakan oleh Syafiqa Zakaria

22 Ogos 2023



Ogos ini menandakan Kemerdekaan Malaysia ke-66 tahun, kita membangun bersama-sama mendukung institusi demokrasi sebagai landas pentadbiran negara. Seperti amalan biasa, pilihan raya menjadi mekanisme dalam menyuburkan demokrasi dengan penglibatan rakyat yang menentukan sendiri wakil daripada kalangan mereka untuk berkhidmat dan membawa suara mereka setiap kali di persidangan dewan.

Keberkesanan sebuah demokrasi perlu digandingkan dengan kewujudan pembangkang yang sihat bagi tujuan semak imbang, mengkritik dan juga sebagai alternatif bagi kerajaan yang sedia ada. Oleh itu, barisan pembangkang memainkan tugas memantau ketelusan pentadbiran kerajaan, selari dengan prinsip kebebasan bersuara di bawah sebuah demokrasi yang sihat.

Namun, kejayaan yang diperoleh oleh Perikatan Nasional Terengganu pada masa yang sama bakal mengubah corak amalan demokrasi di peringkat negeri. Justeru implementasi sistem demokrasi tanpa pembangkang perlu diteliti dan diberi penjelasan secara terperinci terutama kaedah semak imbang, wakil-wakil yang dilantik bagi kumpulan minoriti atau bertindak sebagai pembangkang, dan jaminan akauntabiliti kerajaan.

Terengganu Menang Bersih


Perikatan Nasional (PN) Terengganu mencipta sejarah dalam Pilihanraya Negeri baru-baru ini dengan memenangi kesemua 32 kerusi di DUN Terengganu. Kejayaan luar biasa ini turut menumpaskan nama-nama besar daripada parti lawan, Barisan Nasional, iaitu dua bekas ketua negeri Terengganu: Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Selain itu, rakyat negeri Terengganu turut menunjukkan peratus keluar mengundi tertinggi sebanyak 74.79 peratus diikuti oleh Kedah yang mencatatkan peratusan pengundian sebanyak 73.86 peratus, Pulau Pinang (72.67), Selangor (72), Negeri Sembilan (68.35) dan Kelantan pada 60.96 peratus(1) .

Sejurus kemenangan, kenyataan daripada Perikatan Nasional Terengganu mereka akan bertindak menubuhkan backbenchers yang menyokong kerajaan yang berperanan untuk memberikan kritikan dan cadangan membina kepada kerajaan, sebagai alternatif semak dan imbang.

"Mereka diumpamakan sebagai pembangkang juga,

namun berperanan secara lebih positif"

Menteri Besar sementara Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

13 Ogos 2023


Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Hadi Awang juga menyatakan bahawa PN Terengganu memberi jaminan untuk memupuk budaya nasihat dan kritikan terhadap kerejaan negeri bagi memastikan kerajaan tersebut dengan sempurna(3). Beliau merancang untuk mewujudkan sebuah saluran rasmi bagi membolehkan rakyat menyuarakan pendapat dan cadangan mereka.

Namun, sejauh manakah backbenchers yang terdiri daripada penyokong kerajaan akan memainkan fungsi sebenar pembangkang? sebagai sebuah negara yang bersandarkan kepada demokrasi, kemenangan ‘sapu bersih’ atau juga kerajaan berkuasa mutlak ini juga merupakan risiko bagi korupsi dan penyalahgunaan kuasa yang perlu dibendung.

Adakah Terengganu Bersedia?


Kuasa mutlak yang dipunyai oleh Kerajaan Terengganu kini sama seperti membolehkan kerajaan terbabit membuat apa-apa sahaja tanpa ada pihak lawan yang mempersoal tindakan mereka. Dikala pretasi pertumbuhan ekonomi Terengganu berkembang dengan baik pada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM37.3 bilion bagi tahun 2022 dengan peningkatan sebanyak 5.9 peratus berbanding 2021(4). Tanpa pemantauan mahupun penilitian daripada pihak pembangkang, Kerajaan Terengganu perlu memastikan kesinambungan pertumbuhan ekomomi dengan memastikan pentadbiran disetiap lapisan kerajaan adalah adil dan telus.

Selain itu, persidangan dewan legislatif yang umumnya merupakan waktu kritikal antara pihak pembangkang dengan kerajaan bagi proses semak imbang. Amalan demokrasi ini pada masa yang sama menjadi kayu ukur menjadikan kerajaan lebih teliti dalam memutuskan apa-apa keputusan terutama yang melibatkan rakyat secara keseluruhan.

Di dalam situasi yang terjadi di Terengganu, keperluan barisan pembangkang tanpa latar belakang yang cenderung terhadap parti kerajaan negeri, dilihat lebih efektif dalam menjalankan tugas sebagai pembangkang.

Tekanan, desakan dan tuntutan pembangkang adalah penting bagi sebuah institusi demokrasi yang berfungsi. Respon kerajaan negeri yang berhasrat mewujudkan barisan backbenchers dan menyuburkan kritikan terhadap kerajaan adalah langkah yang perlu diketengahkan, namun pada masa yang sama pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak melalui proses pilihan raya berpandukan Tubuh Kerajaan Terengganu perlu diutamakan(5) dengan melantik mereka yang tidak berkepentingan dan tidak cenderung terhadap parti kerajaan.

Kerajaan Terengganu masih perlu memperincikan indikator yang jelas berkenaan pentadbiran sebuah kerajaan tanpa pembangkang di dalam sebuah negara demokrasi. Sekiranya rakyat secara umum diberi hak untuk mengkritik kerajaan negeri sepertimana yang di tekankan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang, maka kerajaan negeri harus bersedia memperincikan kaedah dan saluran yang tepat dan jelas serta jaminan kritikan ini dipertimbangkan.

Keterjaminan Hak Asasi Manusia


Kuasa mutlak di dalam kerajaan sering dikaitkan dengan pelbagai masalah dan antaranya adalah pelanggaran hak asasi manusia. Menurut Laporan Kajian Hak Asasi Manusia 2023(6), Ethiopia, China, Russia, Amerika Syarikat, Afghanistan, India, Myanmar, South Sudan, Iran dan Yemen merupakan 10 negara yang mempunyai isu pelanggaran hak asasi manusia yang tinggi. Negara-negara yang disenaraikan mengamalkan sistem pentadbiran yang berbeza, namun laporan tersebut menyimpulkan bahawa persamaan kesemua negara ini adalah apabila tiada badan yang bertindak mengawal kuasa berpusat dan mengakibat korupsi dan penyalahgunaan kuasa berleluasa dan akhirnya memberi beban kepada rakyat.

Atas dasar risiko pelanggaran hak asasi manusia dan perkara ini tentu sekali tidak boleh dipandang remeh, Kerajaan Terengganu harus mempunyai dasar yang jelas dan inklusif bagi menjamin hak asasi setiap komuniti dan lapisan masyarakat dapat dipelihara.

Kesimpulan


Perikatan Nasional merupakan kerajaan tunggal yang bakal menerajui Terengganu dan merealisasikan dasar dan polisi Terengganu. Situasi tanpa pembangkang sememangnya lebih kompleks oleh kerana tiada persaingan secara sihat, pun begitu Kerajaan Terengganu masih mempunyai pelbagai alternatif sebagai usaha menyuburkan demokrasi. Sebagai kerajaan yang dipilih, mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat harus dikembalikan dengan bentuk kestabilan dan kesejahteraan di dalam masyarakat.





bottom of page