Lockdown Yang Perlu

Helmy Haja Mydin


Tatkala Malaysia meneruskan pertempuran dengan pandemik yang tampaknya semakin berada di luar kawalan, kita berhadapan dengan dua pilihan yang amat sukar – menguatkuasakan satu ‘lockdown’ kebangsaan secara penuh, atau berisiko meruntuhkan sebuah sistem kesihatan dan pasukan barisan hadapannya yang kini sudahpun terlebih beban.


Pakar kesihatan awam tidak mempunyai keraguan bahawa sebuah ‘lockdown’ yang menyeluruh, dengan bantuan sokongan sosial yang mencukupi, adalah amat perlu untuk memberhentikan penularan virus yang amat cepat ini. ‘Lockdown’ ini juga perlu dilaksanakan untuk satu tempoh yang akan membolehkan sistem kesihatan negara untuk mula dipulihkan.


18 hari pertama bulan Mei 2021 sahaja telah menyaksikan lebih 500 kematian yang berkaitan dengan Covid-19, iaitu bilangan kematian yang sama atas sebab tersebut untuk keseluruhan tahun 2020.


Di lapangan juga, terdapat hospital yang telah melebihi kapasiti 100% dengan penggunaan hampir kesemua katil wad jagaan rapi (ICU). Terdapat kos ekonomi yang langsung serta tidak langsung apabila sesebuah sistem kesihatan itu telah runtuh. Berdasarkan demografi semasa, majoriti yang terkena jangkitan kini datangnya dari golongan umur bekerja. Setiap jangkitan itu akan menyebabkan pengasingan individu terkesan untuk sekurang-kurangnya 14 hari, dengan akibat fizikal serta psikologi untuk kontak rapat mereka di tempat kerja dan di rumah. Apabila digandakan dengan tempoh pandemik yang berterusan, kita akan dapat melihat bahawa gangguan yang berlaku tidak terhad kepada ekonomi dan kesihatan semata-mata, tetapi kepada persekolahan dan kehidupan peribadi.


Namun, keputusan untuk melaksanakan ‘lockdown’ secara penuh kini dilengahkan atas sebab melindungi ekonomi. Negara-negara termaju dunia pun dilihat melaksanakan ‘lockdown’ penuh, walaupun mengetahui yang pandemik ini akan menggugat sumber-sumber fizikal dan manusianya. Di Malaysia, perintah kawalan pergerakan yang berubah-ubah – dan kini dalam edisi ketiga – hanya telah menyumbang kepada kekeliruan, dan boleh membawa kepada jurang kepercayaan yang semakin membesar sekiranya sekatan dilaksanakan tanpa mengutamakan pertimbangan saintifik dan kesihatan awam.


Impak Sosioekonomi


Kesan negatif sosioekonomi yang bakal terhasil dari pelaksanaan ‘lockdown’ ini tidak dapat dinafikan. Kebarangkalian untuk golongan berpendapatan rendah untuk melaksanakan kerja dari rumah adalah amat rendah, dan mendedahkan mereka kepada kehilangan pendapatan serta berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19 semasa bekerja. Di dalam sebuah kajian yang difokuskan kepada impak Covid-19 pada tahun 2020, Tabung Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Populasi PBB (UNFPA) telah mendapati yang berikut untuk Malaysia:


> Sembilan daripada 10 orang miskin bandar bekerja sendiri tanpa liputan penggajian,

> Empat daripada 10 ketua isi rumah wanita bergantung kepada bantuan kerajaan,

> Enam daripada 10 isi rumah tidak mampu memberikan makanan yang mencukupi untuk kesemua ahli keluarga,

> Satu daripada dua isi rumah tidak mampu membayar bil utiliti, pinjaman perumahan atau sewa mengikut masa yang ditetapkan,

> Satu daripada empat isi rumah telah terpaksa mengurangkan pemakanan,

> Satu daripada tiga isi rumah tidak mampu memberikan wang mencukupi untuk anakanak membeli makanan di sekolah.


Bantuan tunai dan bakul makanan


Rakyat sudahpun menanggung beban kesusahan ini dengan mengambil pendahuluan daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka, yang melihat pengeluaran wang persaraan peribadi sebanyak RM 78 bilion setakat ini. Namun, data menunjukkan bahawa golongan rentan masih tidak dapat memanfaatkan pengeluaran ini, apabila mengambilkira hampir 2.6 juta pencarum KWSP yang mempunyai kurang daripada RM 1,000 di dalam Akaun 1 mereka.


Justeru, skim ini hanya akan bertindak sebagai bantuan kecemasan untuk golongan tertentu sahaja, dan tidak membantu mereka yang paling memerlukan. Apabila perniagaan tidak boleh dijalankan sepenuhnya, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan bergantung kepada bantuan kerajaan untuk memastikan kelangsungan hidup. Tanggungjawab untuk melaksanakan ‘lockdown’ ini adalah berkait rapat dengan tanggungjawab untuk mengurus kesan sosioekonomi yang bakal terhasil.


Kerajaan haruslah memastikan pemberian bantuan yang secukupnya kepada golongan paling terkesan tanpa mengira kawasan, termasuklah bantuan kewangan tunai dan juga bakul makanan. Pengurusan keperluan asas ini akan membantu memitigasi kesan ekonomi untuk jangka pendek dan sederhana. Golongan lain juga akan mendapat manfaat daripada moratorium pembayaran balik pinjaman ataupun intervensi mudah yang lain, seperti subsidi penuh bil utiliti yang dilakukan di Hong Kong.


Pendidikan dan Prasarana


Pelbagai kajian telah menunjukkan yang kemiskinan itu mempunyai pelbagai dimensi. Bantuan tunai secara terus akan membantu dari segi jangka pendek, tetapi dimensi kemiskinan yang lain juga perlu diberi perhatian, termasuklah akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan (khususnya apabila pengajaran dan pembelajaran dijalankan di rumah secara maya) dan/atau akses kepada infrastruktur awam.


Kita tidak lagi boleh mengambil pendekatan seolah-olah terdapat hanya dua pilihan – iaitu memberi bantuan secara langsung atau bantuan secara tidak langsung kepada individu terkesan – tanpa mengambil kira faktor mempengaruhi kemiskinan yang sebenarnya sistemik dan fundamental. Dengan penutupan sekolah yang berterusan buat masa terdekat ini, penyediaan infrastruktur digital untuk pengajaran dan pembelajaran menjadi kritikal demi memastikan kesinambungan pendidikan.


Kerajaan perlu mempercepatkan dan memperluaskan pengedaran peranti kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu, dan seterusnya memastikan capaian Internet secara percuma serta stabil untuk seramai mungkin. Covid-19 telah menyebabkan kemudaratan yang amat signifikan kepada pendidikan, perkembangan kognitif, gizi pemakanan dan kesejahteraan am untuk kanak-kanak. Maka apa-apa langkah yang boleh diambil untuk menghentikan regresi ini perlulah dibuat dengan segera.


Penjagaan Kesihatan


Walaupun diyakinkan dengan kenyataan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang kadar vaksinasi harian kini menghampiri 100,000 dos (setakat penulisan ini), impak penuh hasil vaksinasi ini akan hanya ketara dalam beberapa minggu dari sekarang. Sementara itu, intervensi lain yang penting masih diperlukan untuk menghentikan kenaikan bilangan kes jangkitan. Ini termasuklah:


> Menyokong usaha-usaha Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan katil-katil ‘ICU lapangan’,


> Meningkatkan kapasiti pengesanan Covid-19 (khususnya proses pengesanan kontak rapat yang lebih cekap dan pelaburan di dalam teknologi membangun seperti kit ujian diagnostik sendiri di rumah yang akan membolehkan pengesanan kes yang lebih awal),


> Mengutamakan SOP yang menitikberatkan pengudaraan ruang, memandangkan pengiktirafan badan seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia bahawa virus SARS-CoV2 merebak melalui udara,


> Menyokong dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi semua syarikat dan entiti yang berkemampuan bagi jangka masa terdekat, dan


> Meningkatkan sokongan untuk perkhidmatan kesihatan mental, termasuklah menambahbaik perkhidmatan atas talian berkait.

Peningkatan defisit fiskal


Perbelanjaan tambahan adalah diperlukan untuk merealisasikan mekanismemekanisme yang disebut ini. Kementerian Kewangan tidak seharusnya mengutamakan kebimbangan tentang peningkatan defisit fiskal memandangkan keruncingan krisis kesihatan awam kali ini. Adalah menjadi sesuatu yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab untuk membiarkan krisis ini berlanjutan, lebihlebih lagi kerana jumlah rangsangan fiskal sebenar Malaysia hanyalah 4.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan merupakan antara yang nisbah terkecil di rantau ASEAN ini. Satu jangkaan konservatif mengunjurkan bahawa kerajaan boleh mendapatkan sekurang-kurangnya RM 35 bilion melalui penerbitan sekuriti hutang untuk membiayai perbelanjaan ini, kerana kadar faedah yang masih menarik.


Peningkatan perbelanjaan semata-mata adalah diakui bukan penyelesaian bersifat mutlak, malah ia mungkin menjejaskan taraf Malaysia di kalangan agensi penarafan antarabangsa sekiranya tidak diikuti dengan perancangan yang telus dan terperinci berhubung keutamaan perbelanjaan, serta strategi keluar yang jelas. Ini pula hanya boleh dicapai sekiranya Parlimen dibenarkan untuk bersidang secepat mungkin bagi memainkan peranannya sebagai semak dan imbang kepada cabang Eksekutif. Ahli falsafah dan sejarah Yuval Noah Hariri baru-baru ini ada menyatakan bahawa “Hari ini umat manusia mempunyai peralatan saintifik untuk mengalahkan Covid-19.


Beberapa negara, dari Vietnam ke Australia, telah membuktikan bahawa walaupun tanpa vaksin, peralatan sedia ada mampu menghentikan epidemik ini. Namun, peralatan ini mempunyai kos ekonomi dan sosial yang cukup tinggi. Kita boleh mengalahkan virus ini – tetapi kita tidak pasti samada kita bersedia untuk membayar harga bagi kemenangan tersebut. Itulah sebab pencapaian saintifik meletakkan satu tanggungjawab yang cukup besar di atas bahu golongan ahli politik.”


Sememangnya tidak ada syak bahawa kita berhadapan dengan satu situasi yang sangat kompleks dengan pilihan-pilihan yang cukup sukar. Ia merupakan satu situasi yang memerlukan semua pemegang taruh – khususnya ahli politik dari semua belah – untuk fokus kepada kesusahan yang sedang melanda rakyat. Ciri keunggulan kepimpinan ialah membuat keputusan yang sukar bagi pihak yang dipimpin, sambil memitigasi secara bertanggungjawab segala implikasi keputusan tersebut.