top of page

Tercicir Kerana Miskin

Disediakan oleh Syafiqa Zakaria

1 Disember 2023

Isu keciciran pelajar dalam pendidikan bukan perkara yang baharu dan ia benar-benar membimbangkan. Perkara ini telah mula dibincangkan menerusi pembentangan Laporan Murad(1) yang diketuai oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Murad Mohamed Noor pada 1972 bagi mengatasi masalah keciciran pelajar luar bandar akibat kemiskinan tegar pada 1969. Kebanyakan syor-syor yang terkandung di dalam laporan tersebut telah pun dilaksanakan secara berperingkat bagi mengatasi masalah keciciran pelajar.

1962(2), kerajaan Malaysia telah mengamalkan dasar pendidikan percuma kepada semua rakyat tanpa mengira status ekonomi agar semua masyarakat mendapat pendidikan. Ertinya pada ketika itu, pelajar berlatar belakang keluarga yang kaya turut mendapat faedah pendidikan percuma daripada kerajaan. Usaha berterusan kerajaan Malaysia biarpun pucuk pimpinan silih berganti, pendidikan percuma diteruskan melalui pelbagai saluran seperti tajaan, subsidi, biasiswa, serta pendidikan percuma daripada darjah satu hingga darjah enam.


Usaha-usaha ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyelesaikan isu keciciran yang berlaku berikutan beberapa faktor seperti kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar, luar bandar, pinggir bandar, kawasan terpencil, kanak-kanak keperluan khas, kanak-kanak Orang Asli dan tidak berdokumen serta kanak-kanak yang tinggal di kawasan ladang dan pelarian.

Isu keciciran pelajar turut dinyatakan menerusi Laporan Bank Dunia(3). Laporan tersebut menjelaskan bahawa hampir 175,304 anak-anak sekolah rendah di Malaysia berada dalam kategori 'miskin pembelajaran' pada 2019. Rata-rata pelajar ini masih tidak mempunyai kemudahan pendidikan yang sewajarnya daripada segi bekalan elektrik, air, kemudahan untuk ke sekolah, peralatan untuk pembelajaran yang terhad, kelengkapan peranti dan pelbagai lagi.

2020, apabila negara dilanda pandemik Covid-19, masalah kesenjangan di dalam pendidikan begitu ketara dan mula menarik perhatian masyarakat umum. Ramai kanak-kanak di Malaysia dan di seluruh dunia tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara atas talian atas faktor-faktor kemiskinan yang menjejaskan peluang pendidikan mereka(4).

Dalam Belanjawan 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan tertinggi iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas, Belanjawan 2022. Antara intipati Belanjawan Kementerian Pendidikan 2023 :

  1. Daripada jumlah keseluruhan itu, RM2.3 bilion adalah untuk membina infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah-sekolah. Peruntukan itu juga bagi melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), selain RM15 juta untuk menyokong usaha NGO mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.

  2. KPM juga menerima RM777 juta berbanding RM625 juta pada tahun lepas bagi mengatasi masalah kemiskinan malnutrisi yang semakin serius di Malaysia melalui program-program seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Makanan Prasekolah.

  3. Kerajaan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 buah komputer riba. Ini adalah selaras dengan teras ke-7 KPM dalam meningkatkan keupayaan digital di kalangan guru di sekolah.

  4. RM20 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara bagi memupuk perpaduan antara ibu bapa, komuniti dan NGO.

  5. RM20 juta kepada tiga buah agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan, yang mana dua adalah di bawah KPM iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)

Jelas dapat dilihat usaha Kementerian Pendidikan dalam mengatasi isu keciciran dikalangan pelajar yang berpunca daripada pelbagai faktor dengan menambah baik akses pendidikan, kepentingan isu kemiskinan malnutrisi. Melalui penyelenggaraan infrastruktur yang melibatkan kemudahan buat pelajar kelainan upaya serta penekanan soal ekosistem dan keceriaan di sekolah dengan saluran dana buat kerja-kerja penyelenggaraan tandas.


Tercicir Kerana Miskin

Pendidikan adalah kunci untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Semua kanak-kanak terutamanya daripada keluarga miskin tidak seharusnya terkecuali daripada mendapatkan akses pendidikan sepenuhnya sepertimana yang sering dilaungkan oleh para aktivis pendidikan; ‘pendidikan untuk semua’. Oleh itu, antara solusi bagi mengatasi isu ini adalah dengan memberi sokongan melalui kemudahan-kemudahan tertentu secara adil dan saksama.

Pada Januari 2023, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, telah menyampaikan ucapan Amanat Menteri Pendidikan yang mengandungi tujuh (7) teras dan tiga (3) elemen utama;, murid, guru dan infrastruktur yang bakal menjadi inti pati landskap pendidikan di negara. Khususnya, teras keempat amanat tersebut menggariskan kepentingan mengatasi masalah keciciran pendidikan dan masalah literasi dan numerasi bagi merapatkan kesenjangan pendidikan.

Sehubungan dengan itu, telah terdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan di bawah Kerajaan Madani dengan kerjasama kementerian lain, agensi-agensi kerajaan dan NGO berkaitan bagi menyelesaikan masalah keciciran pendidikan. Antara usaha tersebut adalah:

  1. Penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang berfungsi sebagai sebuah badan berkanun bebas untuk melindungi dan menegakkan hak untuk kanak-kanak di Malaysia seiring dengan negara-negara maju seperti New Zealand dan Amerika Syarikat (AS). Suruhanjaya Kanak-kanak ini akan bergerak berpanjikan empat teras iaitu tidak diskriminasi; komited untuk kepentingan terbaik kanak-kanak; hak untuk hidup, kelangsungan dan perkembangan; dan hormat terhadap pandangan kanak-kanak, diperhatikan.

  2. Berpandukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, KPM menyasarkan 75% murid berkeperluan khas mendaftar dalam program inklusif menjelang 2025. Pendidikan Khas di Malaysia telah mempunyai beberapa saluran sebagai usaha merapatkan jurang keciciran di kalangan murid berkeperluan khas, antaranya adalah, 34 Sekolah Pendidikan Khas, Program Pendidikan Khas Integrasi, Program Pendidikan Inklusif, Pendidikan Islam Dalam Pendidikan Khas, Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK), Rancangan Pendidikan Individu, Pusat Sumber Bahagian Pendidikan Khas.

Sementara KPM di bawah Kerajaan Madani dan bagi mencapai sasaran PPPM 2025, dengan memberi penekanan enam strategik yang meliputi penambahbaikan akses dan mobiliti, pemantapan sumber manusia, pemantapan pengajaran dan pembelajaran, penambahbaikan sistem sokongan, pemantapan pengurusan data, dan pemantapan tadbir urus.


Seiring dengan peningkatan jumlah MBPK, KPM mengesahkan seramai 107,020 pelajar setakat Januari 2023 berbanding 97,220 (2021) dan 93,951 (2020), KPM turut menubuhkan 13 Pusat Khidmat Pendidikan Khas (3PK) bagi memberi khidmat sokongan kepada pelajar yang menawarkan perkhidmatan audiologi, terapi petuturan bahasa, terapi pekerjaan, psikologi dan fisiologi.

  1. Jun 2023, KPM menjayakan penubuhan Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi, dengan kerjasama daripada syarikat tenusu, Farm Fresh Bhd sebagai salah satu strategi mengekang kemiskinan yang menyebabkan keciciran di kalangan murid. KPM menyasarkan 10 Pusat Multidimensi di Malaysia yang melibatkan kos sebanyak RM 2 juta dan melibatkan 500 murid daripada Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Selain itu, pusat tersebut turut bertindak menyediakan program lain seperti kelas tuisyen percuma termasuk kelas mengaji serta kelas kerohanian atau kaunseling bagi membantu mengawal tekanan hidup dan emosi, pemeriksaan kesihatan, makanan menu sihat dan susu percuma selama setahun.

  2. Pembinaan Sekolah Sukan Khas bagi MBPK yang mempunyai potensi dalam bidang sukan. Sekolah Sukan Khas ini dijangka mula beroperasi pada 2025 dan bakal mempunyai jenis sukan yang bersesuaian mengikut keperluan dan fungsi MBPK.

  3. Pelaksanaan Program Jom Belajar diperkenalkan melalui model Program Khas Murid Orang Asli (PROKHAS) dan Chup Badui Sikulah (CBS).


Pelan dan gerak kerja yang dijalankan oleh KPM bagi mengatasi isu keciciran ini adalah selaras dengan Perkara 12 Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa setiap warganegara tidak boleh didiskriminasikan dalam menerima pendidikan formal. Perkara ini disebut dalam Perkara 8 Perlembagaan Malaysia, yang memperuntukkan hak sama rata dalam pendidikan formal bagi setiap warganegara tanpa mengira agama, bangsa, asal usul atau jantina (Perlembagaan Malaysia, 2013).


Adakah Usaha ini Cukup?

Sudah tentu tidak. Senario di Malaysia, pendidikan masih berpihak pada pelajar yang datang daripada keluarga yang berkemampuan dan menyedari realiti ini, tentu sekali rombakan pendidikan negara tidak mungkin mampu berlaku sepenggal kerajaan memerintah walaupun sistem pendidikan telah mula berubah kepada pendekatan lebih tepat.


Oleh yang demikian, pelan tindakan khusus bagi menangani perlu diluncurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengatasi isu keciciran yang datang daripada pelbagai dimensi.


  1. Laporan Komprehensif Pelajar Tercicir: Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan laporan komprehensif berkenaan pelajar tercicir melalui kajian khusus pelajar tercicir di dalam negara dan mengenalpasti faktor serta solusi.

  2. Kakitangan Sekolah: Memastikan guru dapat menyampaikan pelajaran dengan lebih efektif, beban guru harus dipertimbangkan sebagai langkah jangka masa panjang. Tenaga pengajar di dalam negara ini ratanya mempunyai isu tugas di luar skop pengajar dan ianya turut dipersetujui oleh Dr. Anuar Ahmad, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Berhadapan dengan isu keciciran yang membimbangkan, guru-guru perlu fokus untuk menghasilkan pembelajaran yang efektik.

  3. Kemahiran Guru: Memastikan guru-guru mempunyai kemahiran teknolgi maklumat serta terkini agar tugas guru dapat diringankan sekali gus mengadaptasi kaedah pembelajaran terbaik bagi menarik pelajar tercicir.

  4. Sokongan Emosi dan Sosial: Kajian 'Pekembangan Sosial dan Emosi Kanak-kanak: Kesan Penjarakan Sosial Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan Pendekatan Dalam Membantu' menyatakan kanak-kanak terpaksa melalui perubahan drastik dan terpaksa tinggal di rumah untuk jangka masa yang lama. Perkara ini melanggar norma kanak-kanak yang suka bermain, berseronok, ke sekolah dan meneroka pelbagai perkara bersama kawan-kawan yang mengakibatkan tekanan, kebimbangan dan kemurungan (Singh et al. 2020). Pembangunan aspek sosial dan emosi kanak-kanak adalah dipengaruhi oleh 3 faktor utama iaitu faktor biologi, perhubungan dengan manusia dan perhubungan dengan persekitaran. Pembangunan sosial dan emosi yang utuh menyumbang kepada pengurusan emosi yang baik di masa hadapan di samping dapat memupuk kemahiran-kemahiran yang perlukan dalam kehidupan seperti kemahiran sosial, kemahiran komunikasi, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Selain itu, perkembangan sosial and emosi juga boleh di suntik melalui sokongan persekitaran yang sihat.

  5. Program Intervensi oleh Sektor Industri: Penglibatan industri dan NGO mampu membantu menyediakan sokongan buat kerajaan mengatasi isu ini. Suntikan dana daripada Kementerian bagi mewujudkan kerjasama ini turut perlu diambil kira serta prosedur kerjasama mudah dan pemantauan yang telus diperlukan, begitu juga dengan mekanisme yang sesuai untuk menyokong akar umbi di dalam sistem pendidikan negara. Program intervensi sebegini mampu mewujudkan kerjasama dengan institusi pendidikan utama Kerajaan dan menambah baik sebarang pembaharuan kurikulum, latihan atau penambahbaikan pengurusan pendidikan.


Penutup

Sistem pendidikan negara sememangnya memerlukan reformasi secara menyeluruh walaupun sebelum berlakunya fenomena Covid-19, dari sudut ekosistem di sekolah, kurikulum dan silibus pelajar, dan juga infrastruktur sekolah itu sendiri. Maka secara rasionalnya keperluan untuk menghadapi cabaran sektor pendidikan negara dan mengembalikannya ke landasan sebetulnya adalah mustahak ekoran perkembangan dunia yang bergerak pantas. Fokus Kementerian Pendidikan dalam merangka mekanisme pembangunan pendidikan negara perlu ke arah inovasi, digitalisasi dan pembaharuan cara dan budaya di dalam sektor pendidikan demi keharmonian perkembangan pendidikan negara.

bottom of page