top of page

Jaga Mereka yang Menjaga: RUU Profesion Kerja Sosial dan Masa Depan Sistem Penjagaan Negara

  • Jul 17
  • 7 min read

Prepared by Syafiqa Zakaria

17 July 2026



RUU Profesion Kerja Sosial: Bersediakah Malaysia Menghadapi Negara Tua?

Seorang pekerja sosial di Malaysia bertanggungjawab terhadap kira-kira 8,576 penduduk. Angka ini menggambarkan besarnya tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja sosial di Malaysia. Persoalannya, siapa menjaga mereka yang menjaga? Ini antara perkara paling membimbangkan apabila didedahkan dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial di Dewan Rakyat. Namun, perbahasan tersebut bukan sekadar mengenai pengiktirafan profesion kerja sosial, tetapi turut membuka persoalan yang lebih besar tentang sama ada Malaysia benar-benar bersedia membina sistem penjagaan bagi menghadapi realiti negara yang semakin menua.

Selepas lebih sedekad dibincangkan, RUU ini akhirnya diberi ruang untuk dibahaskan di Parlimen. Dalam ucapan penggulungan pada 14 Julai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memetik dapatan Kajian Pengurusan Organisasi JKM oleh MAMPU (2019) yang menunjukkan nisbah seorang pekerja sosial bagi setiap 8,576 penduduk. Sebagai perbandingan, nisbah ini jauh lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat (1:490), Australia (1:1,040), United Kingdom (1:3,025) dan Singapura (1:3,448). Jurang yang begitu ketara ini bukan sekadar statistik, tetapi petunjuk bahawa kapasiti tenaga kerja sosial Malaysia masih belum berkembang seiring dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan sosial dan penjagaan.

Antara isu yang turut dibangkitkan dalam perbahasan ialah kapasiti latihan dan institusi bagi merealisasikan aspirasi RUU ini, kebimbangan ini amat berasas. Malaysia telah memasuki fasa masyarakat menua sejak 2021 dan dijangka menjadi negara tua menjelang 2048, apabila lebih 14% daripada jumlah penduduk berumur 65 tahun ke atas. Perubahan demografi ini akan terus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan, penjagaan jangka panjang, perlindungan sosial serta tenaga kerja penjagaan yang mencukupi, berkualiti dan selamat.

RUU Profesion Kerja Sosial merupakan satu langkah penting ke arah membina sistem penjagaan yang lebih profesional dan tersusun. Perubahan demografi ini sudah mula dirasai oleh masyarakat di mana semakin ramai rakyat Malaysia memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin uzur, anak-anak, ahli keluarga kurang upaya atau saudara yang mengalami masalah kesihatan. Penjagaan bukan lagi isu yang terpencil, tetapi telah menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan harian yang memberi kesan kepada kos sara hidup isi rumah, penyertaan dalam pasaran buruh dan kesejahteraan keluarga.

Malaysia tidak menunggu kita bersedia. Negara ini sedang menua setiap hari. Pembentukan undang-undang hanyalah permulaan kepada reformasi yang lebih besar.  Kita perlu menyegerakan pelaksanaan RUU supaya tidak terlepas lebih banyak peluang untuk membuat persediaan yang sewajarnya. Persoalannya, adakah Malaysia mampu menterjemahkan reformasi ini kepada sebuah sistem penjagaan yang benar-benar bersedia menghadapi realiti masyarakat yang semakin menua?

Antara Dasar dan Realiti

Hakikatnya, Malaysia tidak lagi kekurangan dasar. Selain RUU Profesion Kerja Sosial, kita juga mempunyai Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026–2030, yang mengangkat penjagaan sebagai sebahagian daripada infrastruktur sosial dan ekonomi negara. Ini menunjukkan bahawa hala tuju dasar semakin jelas, jadi mampukah pelaksanaan dasar bergerak seiring dengan perubahan demografi dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan?

Pengalaman Jepun menunjukkan bahawa membina sistem penjagaan bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan melalui satu dasar atau satu undang-undang. Sejak penghujung 1980-an, Jepun berdepan peningkatan pesat populasi warga emas. Negara itu mengambil masa lebih sedekad untuk memperkukuh sistem penjagaannya secara berperingkat melalui peluasan perkhidmatan komuniti, penambahbaikan dasar dan akhirnya pelaksanaan Long-Term Care Insurance (LTCI) pada tahun 2000. Pengalaman Jepun menunjukkan bahawa pembinaan sistem penjagaan memerlukan pelaburan berterusan dalam tenaga kerja, institusi dan penyelarasan dasar.

Malaysia kini berada pada peringkat awal dalam usaha membina sistem penjagaan yang lebih tersusun. Langkah awal ke arah memprofesionalkan kerja sosial telah pun diambil. Kini, cabaran Malaysia beralih kepada meningkatkan kapasiti institusi, menyelaras perkhidmatan merentas agensi serta menjamin akses yang saksama kepada rakyat. Tanpa pelaksanaan yang konsisten, biarpun undang-undang yang baik, ianya tidak akan mampu diterjemahkan dan dirasai oleh rakyat.

Kos Tersembunyi Penjagaan

Di sebalik perbahasan mengenai profesion kerja sosial, hakikatnya sebahagian besar sistem penjagaan di Malaysia masih bergantung kepada penjagaan tidak formal yang disediakan oleh ahli keluarga. Apabila perkhidmatan penjagaan formal tidak mencukupi, keluarga menjadi penyedia penjagaan utama kepada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan ahli keluarga yang memerlukan sokongan berterusan.

Kini di Malaysia, setakat 31 Mac 2026, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 833,425 Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar, bersamaan 2.42% daripada jumlah penduduk negara. Daripada jumlah tersebut, kategori masalah pembelajaran mencatatkan bilangan tertinggi dengan 336,278 individu, manakala pendaftaran OKU autisme terus menunjukkan peningkatan. Pada masa yang sama, Malaysia mempunyai sekitar 4.1 juta penduduk berumur 60 tahun dan ke atas, bersamaan kira-kira 12% daripada jumlah penduduk negara. Namun, negara ketika ini hanya mempunyai sekitar 67 pakar geriatrik, iaitu purata seorang pakar bagi lebih 60,000 warga emas. Angka-angka ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan meningkat dengan pantas, sedangkan kapasiti sistem masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Pemilihan data ini bukanlah secara kebetulan. Warga emas dan OKU dipilih sebagai contoh kerana kedua-duanya merupakan antara kumpulan yang paling memerlukan sokongan penjagaan berterusan. Namun, angka-angka ini masih belum menggambarkan keseluruhan beban penjagaan yang ditanggung oleh masyarakat. Ramai lagi individu yang memerlukan penjagaan harian tetapi bergantung kepada ahli keluarga kerana akses kepada perkhidmatan formal masih terhad.

Namun, beban penjagaan tidak terhad kepada warga emas dan OKU. Keperluan penjagaan kanak-kanak turut memberi kesan langsung kepada penyertaan tenaga kerja, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang berdepan kos pusat jagaan yang tinggi, akses yang tidak sekata serta kekurangan kemudahan penjagaan berhampiran tempat kerja. Dalam keadaan ini, tanggungjawab penjagaan sering diserap oleh keluarga sendiri dan secara tidak seimbang dipikul oleh wanita.

Keadaan ini menjadi lebih jelas semasa pandemik COVID-19. Apabila sekolah ditutup dan perkhidmatan penjagaan terganggu, sebahagian besar tanggungjawab penjagaan kembali kepada isi rumah. Dalam situasi ini, wanita bukan sahaja perlu mengurus kerja rumah, tetapi juga menanggung beban tambahan untuk menjaga anak, warga emas dan ahli keluarga yang memerlukan sokongan.

Kesan ini turut tercermin dalam pasaran buruh. Menurut analisis ISIS Malaysia, bilangan wanita bekerja menurun sebanyak 2.5% pada suku kedua 2020 berbanding purata tahun 2019, iaitu lima kali ganda lebih tinggi berbanding penurunan 0.5% dalam kalangan lelaki. Walaupun wanita hanya mewakili 39% daripada tenaga kerja, mereka menyumbang hampir dua pertiga daripada keseluruhan kehilangan pekerjaan. Malah apabila pemulihan pasaran buruh selepas sekatan juga berlaku secara tidak seimbang apabila peningkatan pekerjaan lelaki berlaku lebih awal berbanding wanita.

Dapatan ini menunjukkan bahawa gangguan dalam sistem penjagaan memberi kesan langsung kepada kestabilan penyertaan ekonomi wanita. Kajian SERI, Women in Workforce (2023) turut menunjukkan bahawa penyertaan wanita dalam tenaga kerja sangat bergantung kepada ketersediaan sistem sokongan penjagaan. Tanpa sokongan tersebut, wanita lebih cenderung untuk mengurangkan komitmen kerja atau meninggalkan pasaran buruh. Hakikat ini turut tercermin dalam data yang menunjukkan sekitar 3.1 juta wanita menyatakan faktor keluarga sebagai sebab utama mereka tidak berada dalam tenaga kerja.

Keseluruhannya, isu penjagaan tidak boleh dilihat sebagai isu kebajikan semata-mata. Ia merupakan sebahagian daripada infrastruktur sosial dan ekonomi negara yang menentukan kesejahteraan keluarga, penyertaan tenaga kerja dan produktiviti ekonomi. Selagi sebahagian besar tanggungjawab penjagaan terus bergantung kepada penjagaan tidak formal, tekanan terhadap keluarga, terutamanya wanita yang akan terus meningkat. Atas sebab itu, pelaburan dalam sistem penjagaan perlu dilihat sebagai pelaburan strategik bagi memperkukuh daya tahan sosial dan ekonomi Malaysia.


Jaga Mereka Yang Menjaga: Daripada Pengiktirafan kepada Pelaksanaan

Perbahasan RUU Profesion Kerja Sosial memperlihatkan bahawa Malaysia semakin hampir ke arah memprofesionalkan kerja sosial. Namun, ia juga menunjukkan bahawa cabaran sebenar bukan lagi sekadar meluluskan undang-undang, tetapi memastikan reformasi tersebut diterjemahkan kepada sistem penjagaan yang mampu memenuhi keperluan negara yang semakin menua. Hakikatnya, Malaysia tidak lagi berdepan kekurangan dasar. Selain RUU Profesion Kerja Sosial, kerajaan turut memperkenalkan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026–2030. Cabaran utama kini ialah mempercepat pelaksanaan dasar, membangunkan tenaga kerja dan memperkukuh institusi agar perubahan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah lama menegaskan bahawa ekonomi penjagaan merupakan sebahagian daripada infrastruktur ekonomi dan sosial negara yang kritikal. Dalam konteks Malaysia, terdapat empat keutamaan yang perlu diberi perhatian.

  1. Mempercepat pelaksanaan RUU Profesion Kerja SosialKelulusan RUU perlu disusuli dengan pelan pelaksanaan yang jelas, termasuk pembangunan standard kompetensi, sistem pendaftaran, garis panduan amalan profesional serta pengukuhan fungsi Majlis Profesion Kerja Sosial. Reformasi hanya akan memberi impak sekiranya institusi yang menyokongnya dibangunkan secara menyeluruh, disertai dengan peruntukan yang mencukupi dan mekanisme pemantauan yang berkesan.

  2. Melabur dalam pembangunan tenaga kerja penjagaanProfesionalisasi tidak akan berjaya tanpa tenaga kerja yang mencukupi. Malaysia perlu memperkukuh laluan pendidikan dan latihan, memperluaskan peluang pembangunan profesional berterusan (CPD), serta membangunkan laluan kerjaya yang jelas bagi pekerja sosial dan pekerja penjagaan.

Namun, pembangunan tenaga kerja tidak boleh terhenti pada aspek latihan dan pensijilan semata-mata. Pengiktirafan profesion mesti disertai dengan pengiktirafan terhadap nilai kerja tersebut. Tiada makna memprofesionalkan sektor penjagaan sekiranya Malaysia masih gagal menawarkan gaji yang setimpal, perlindungan pekerjaan, prospek kenaikan pangkat serta ganjaran yang mencerminkan tahap kemahiran dan tanggungjawab profesion ini. Tanpa pembaharuan tersebut, negara berisiko mewujudkan satu profesion yang diiktiraf di atas kertas, tetapi masih gagal menarik dan mengekalkan tenaga kerja yang mencukupi untuk memenuhi permintaan penjagaan yang semakin meningkat.

  1. Memperkukuh penyelarasan sistem penjagaanPerkhidmatan penjagaan tidak boleh dipikul oleh satu kementerian atau satu profesion sahaja. Ia melibatkan kerjasama antara sektor kesihatan, kebajikan, pendidikan, kerajaan tempatan, NGO, komuniti serta penyedia perkhidmatan swasta. Penyelarasan yang lebih berkesan diperlukan bagi memastikan standard perkhidmatan, perlindungan kepada penerima perkhidmatan serta sokongan kepada penjaga dapat dilaksanakan secara konsisten di seluruh negara, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

  2. Menjadikan Ekonomi Penjagaan Teras Pembangunan NegaraPerbahasan RUU mengingatkan kita bahawa kerja penjagaan bukan sekadar isu kebajikan, tetapi sebahagian daripada asas pembangunan negara. Pelaburan dalam penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas, sokongan kepada Orang Kurang Upaya (OKU), pembangunan komuniti serta bantuan kepada penjaga tidak formal akan memberi kesan langsung kepada penyertaan tenaga kerja, produktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Dalam konteks Malaysia yang sedang menuju status negara tua, ekonomi penjagaan perlu dilihat sebagai pelaburan strategik untuk membina daya tahan sosial dan ekonomi negara, bukannya sebagai kos kebajikan semata-mata.

Malaysia tidak kekurangan pelan, strategi atau kerangka tindakan. Apa yang menjadi cabaran sebenar ialah memastikan pelaksanaan dasar bergerak sepantas perubahan demografi negara. RUU Profesion Kerja Sosial merupakan satu langkah penting, tetapi ia bukan destinasi akhir. Kejayaan sebenar akan diukur melalui keupayaan Malaysia membina sistem penjagaan yang profesional, mudah diakses dan mampan. Bukan sahaja untuk menyokong warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak, tetapi juga keluarga serta mereka yang selama ini memikul tanggungjawab penjagaan. Malaysia sedang menuju negara tua dan kita tidak mempunyai kemewahan untuk menangguhkan reformasi sistem penjagaan. Setiap kelewatan hari ini akan menjadi beban yang lebih besar kepada keluarga, penjaga dan generasi akan datang.

 
 
 

Comments


bottom of page